Oleh : Syafiqah Damanhuri
TAMBUN: Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan untuk membaik pulih perumahan polis dalam Belanjawan Madani pada Oktober depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana setakat ini, hanya 60 peratus daripada perumahan polis selamat untuk didiami.
“Peruntukan itu bukan untuk mengindahkan, untuk buat baik pulih yang asas. Saya tidak fikir RM20 juta, RM30 juta untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta ini cukup.
“InsyaAllah Belanjawan Madani bulan Oktober nanti, saya akan cuba ikhtiar dapatkan peruntukan tambahan untuk perumahan PDRM”, katanya ketika berucap di Jamuan Rakyat Perdana Menteri bersama Warga dan Keluarga PGA Ulu Kinta di sini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu, sebelum ini peruntukan tambahan RM200 juta diluluskan untuk menaik taraf kemudahan dan rumah usang anggota tentera di seluruh negara.
Manakala, RM40 juta pula diberikan untuk kerja baik pulih perumahan polis, termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).