GEORGE TOWN: “Beberapa hari lalu, saya kata pada Hock Chuan, jika berlaku bencana seperti kebakaran saya tidak mampu selamatkan dia yang lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar.
“Tidak sangka ia benar-benar berlaku apabila rumah kami terbakar dan saya hanya sempat menyelamatkan suami manakala Hock Chuan maut dalam kebakaran itu.
Itu luahan Lor Phaik Tin, 72, mangsa yang terselamat dalam kebakaran dua rumah di Kampung Pisang, Ayer Itam, di sini, hari ini.
Dalam tragedi berkenaan, jirannya, Yeoh Hock Chuan, 63, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu ditemukan rentung.
Phaik Tin berkata ketika kejadian, dia terjaga daripada tidur berikutan suaminya, Loh Chye Cheng, 78, yang juga OKU mahu ke bilik air, kira-kira jam 3 pagi.
Kemudian, Phaik Tin terdengar bunyi seakan percikan arus elektrik sebelum mendapati bahagian hadapan rumah mereka dijilat api.
“Saya tidak sempat ambil dokumen penting dan terus papah suami keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri sebelum berlaku letupan kuat sejurus kami melepasi pagar rumah.

“Jiran menyangka tiada lagi mangsa terperangkap kerana tidak dengar sebarang jeritan sebelum saya beritahu bahawa Hock Chuan masih ada di dalam rumah itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Phaik Tin berkata, dia kesal kerana tidak mampu menyelamatkan Hock Chuan namun menerima takdir bahawa jiran yang menyewa rumah di situ sejak lima tahun lalu itu menjadi korban kebakaran.
Mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian bawah katil di satu daripada bilik di kediaman berkenaan dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dibedah siasat.
Artikel berkaitan: Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah