KUALA TERENGGANU: Hanya dua daerah iaitu Setiu dan Kuala Nerus masih terjejas akibat banjir membabitkan 1,052 mangsa daripada 260 keluarga yang masih berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan seramai 976 mangsa daripada 247 keluarga yang berlindung di lapan PPS.
PPS yang dibuka di daerah berkenaan adalah Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong, SK Kampung Gemuroh dan SK Padang Air.
Turut diaktifkan SK Tok Jiring, SK Kompleks Gong Badak, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dan SK Gong Badak.
Di Setiu, PPS SK Kampung Telaga Papan dan SK Rhu 10 menjadi tempat berlindung 76 mangsa daripada 13 keluarga.
Terdahulu, banjir yang melanda Dungun dan Kuala Terengganu pulih sebenarnya selepas lapan PPS di dua daerah berkenaan ditutup secara berperingkat, semalam.
Di Dungun, lima PPS yang sebelum ini menempatkan 1,249 mangsa daripada 285 keluarga ditutup petang, semalam.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, tiga PPS yang menjadi tempat berlindung seramai 552 mangsa daripada 125 keluarga ditutup sepenuhnya malam tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.