comscore
Tumpuan :
Nasional

Haram guna tabung sperma suami sudah mati – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hukum ke atas seorang balu bagi umat Islam menggunakan air mani suami yang sudah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji adalah haram. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan yang dikongsikan di laman sesawangnya berkata perkara itu adalah disebabkan hubungan perkahwinan tamat apabila suami sudah meninggal dunia.

“Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.”

Jelas kenyataan itu lagi, ini juga selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983.

“Muzakarah berkenaan telah memutuskan bahawa bayi tabung uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah, bayi tabung itu adalah tidak sah,” katanya.

Kenyataan berkenaan menyatakan bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.

“Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’.”

Manakala kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, keputusan itu juga selaras pendapat Syeikh Prof Dr Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Muasirah (halaman 574).

Tambah kenyataan itu lagi, sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.

Katanya, berdasarkan kenyataan demikian, pihaknya bersetuju bahawa pendapat mengenai tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan.

Sebelum ini, seorang wanita Australia berusia 62 tahun dilaporkan mendapat izin mahkamah untuk mengambil sperma suaminya yang sudah meninggal dunia.

Mengikut laporan itu, wanita terbabit berhasil menyakinkan hakim bahawa beliau dan suaminya mempertimbangkan untuk memiliki bayi sebelum pasangannya itu meninggal dunia.

Pasangan itu mulai berhasrat untuk memiliki anak lagi di usia lanjut berikutan kedua-dua anak mereka sudah meninggal terlebih dulu. — Wires NSTP.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini