comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga ayam dijangka cecah lebih RM11 sekilogram dalam masa terdekat

JOHOR BAHRU: Tiba saja Ramadan, isu harga ayam naik mencanak sudah kedengaran.

Ketika ini harga ayam di peringkat runcit dinaikkan RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan dijangkakan harga meningkat lagi kepada RM11.50 dalam tempoh terdekat  jika peniaga menerima notis kenaikan 20 sen daripada peladang.

 

Harga bahan mentah itu naik 20 sen di peringkat ladang bermula hari pertama Ramadan, Khamis lalu berikutan bekalan ayam segar berkurangan ketika ini  .

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng, berkata ketika ini berlaku kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu tidak dapat dielakkan.

Katanya, kekurangan bekalan ayam itu disebabkan benih ayam yang berkurangan akibat penyakit melanda.

“Memang benar harga ayam segar dari ladang naik 20 sen sejak awal Ramadan lalu, selepas penyelarasan harga dibuat semula.

“Kenaikan harga tidak dapat dielakkan berikutan ketika ini berlaku kekurangan ayam kira-kira 30 peratus di pasaran tempatan akibat penyakit melanda unggas itu menyebabkan benih ayam berkurangan.

“Sebelum ini harganya dari ladang antara RM8.90 hingga RM9 setiap kilogram (kg), namun sejak awal Ramadan lalu ia naik kepada RM9.10 atau RM9.20 setiap kg.

“Walaupun berlaku kekurangan bekalan ayam ketika ini, ia tidak terlalu menjejaskan berikutan permintaan dan pembelian ayam turut menurun tidak seperti Ramadan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada 12 Januari lalu, kerajaan dilaporkan akan meneliti semula harga siling ayam susulan bekalan bahan mentah itu semakin pulih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dilaporkan berkata ia bagi membantu pengguna mendapatkan ayam dengan harga lebih murah berbanding harga siling ketika ini RM9.40 sekilogram.

Dalam pada itu, peniaga ayam di Pasar Pandan, Edy Ali, 42, berkata kenaikan harga ayam segar memaksa peniaga menjual bahan mentah itu pada harga RM11 sekilogram sejak awal Ramadan lalu.

Katanya, sebelum Ramadan lalu kebanyakan peniaga menjual bahan mentah itu pada harga antara RM9.90 hingga RM10.90 setiap kg.

“Harga ayam memang tak ada turun, mencanak naik sejak awal Ramadan lalu. Memang kebanyakan peniaga tak mampu nak jual ayam pada harga siling sejak sebelum ini lagi.

“Jika harga ayam sampai pun RM8.90 sebelum ini, bayangkan bagaimana peniaga nak jual pada harga RM9.40 padahal kami menanggung kos operasi sangat tinggi.

“Ini bila harga ayam segar dari ladang naik lagi 20 sen jadi RM9.20 setiap kg, kami peniaga memang tiada pilihan dan terpaksa jual pada harga antara RM10.80 hingga RM11 setiap kg kepada pelanggan,” katanya.

Loading...
Terkini