comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Harga baharu telur lebih murah diumum esok

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengumumkan harga baharu telur  lebih murah esok.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau berbincang dengan menteri berkenaan.

“Ada beberapa langkah diambil yang diharap akan diumumkan oleh beliau (Mohamad) esok dengan harga lebih rendah kerana mengurangkan kebergantungan kepada kartel. Jadi kita harap jumlah pengedaran telur dalam pasaran cukup dan harganya akan dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini hari ini.

Di Semenanjung, harga siling bagi telur Gred A ialah 45 sen; 43 sen bagi telur Gred B; dan 41 sen bagi telur Gred C.

Di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga siling berbeza mengikut zon dan daerah.

Ditanya mengenai pelaksanaan mekanisme penetapan harga baharu itu sama ada turut membabitkan harga siling, Perdana Menteri menyerahkan kepada Mohamad untuk mengumumkannya.

Isu telur ayam mula ‘panas’ diperkatakan masyarakat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila banyak kedai runcit dan pasar raya melaporkan kehabisan bekalan secara tiba-tiba selain pengguna mendakwa harga telur dijual melebihi harga maksimum ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui  negara sedang berdepan masalah ketiadaan telur di pasaran ketika ini.

Katanya, ketiadaan stok itu mencetuskan keresahan kepada rakyat selain merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana banyak kegiatan perniagaan memerlukan bahan mentah itu.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, mulai 1 Januari depan, cabutan khas atau istimewa nombor ramalan empat digit (4D) dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali.

“Amanah itu harus dijalankan dengan telus dan sekiranya tidak ada kecenderungan untuk mengutip dana haram, kita boleh ambil langkah perlu.

Umpamanya, satu hari saya jadi Menteri Kewangan, saya boleh mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan awal tahun ini mengenai cabutan khas perjudian yang dilakukan ketika Jemaah Menteri yang disertai PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk meningkatkan cabutan daripada lapan ke 22 kali.

Pada hari ini saya mengarahkan supaya cabutan itu dikekalkan dalam tahap lama, iaitu lapan kali,” katanya.

Pada 2021, kerajaan telah memberikan kebenaran syarikat terbabit mengadakan 22 cabutan khas untuk nombor 4D tahun ini, tiga kali ganda daripada biasa.

Loading...
Terkini