
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga lantai padi yang baharu pada minggu depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kenaikan harga lantai padi pada kadar munasabah itu bakal diperincikan secara lanjut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat.
Bagi mengimbangi harga beras dalam pasaran susulan kesan kenaikan harga lantai padi yang baharu itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan subsidi bernilai RM150 juta bagi tempoh enam bulan.
“Kita juga kena tambahan lagi subsidi RM150 juta minimum dari kerajaan supaya kos pengguna tidak naik.
“Kita tidak boleh bicara satu pihak sahaja untuk pertahan pengguna tetapi memangsakan pesawah dan nak naikkan (harga lantai padi) untuk pesawah sehingga memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai.
“Minggu depan paling akhir, Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) akan beri penjelasan dengan pengumuman kenaikan harga (lantai padi) yang munasabah dengan subsidi daripada kerajaan yang bertambah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.