comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga Minyak Dunia Mungkin Kekal Tinggi Hingga Akhir Tahun

Foto: Reuters

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi dalam julat AS$90 hingga AS$100 setong sepanjang tahun ini, meskipun terdapat tekanan susulan permintaan yang lemah.

Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Lucas Tan, berkata prospek harga minyak dunia juga masih kekal positif walaupun persekitaran kurang memberangsangkan disebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi lebih perlahan berikutan beberapa siri kenaikan kadar yang agresif dalam ekonomi dunia.

Katanya, jangkaan bank pelaburan itu turut mengambil kira faktor kekurangan bekalan yang berpanjangan disebabkan pelbagai tekanan yang memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak.

“Kesan geopolitik tidak menentu akibat pencerobohan Russia di Ukraine yang mencetuskan sekatan berperingkat menyebabkan isu bekalan yang berpanjangan.

“Malah, kekurangan pelaburan yang kronik oleh syarikat minyak antarabangsa sejak lima tahun lalu di tengah-tengah tanggungjawab pelabur yang didorong oleh peralihan tenaga.

“Gangguan rantaian bekalan global yang substantif dan premium risiko yang tinggi untuk komoditi juga mendorong kepada pengurangan bekalan minyak mentah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Tan menjangkakan harga minyak mentah akan menyederhana kepada AS$80 hingga AS$90 setong tahun depan.

Beliau berkata, terdapat beberapa risiko penurunan yang akan mempengaruhi pergerakan harga minyak dunia.

“Ada risiko kemerosotan selanjutnya dalam permintaan di tengah-tengah kemungkinan kemelesetan ekonomi global berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif.

“Aliran kontrak minyak dan gas domestik yang lebih perlahan dan potensi peningkatan dalam pengeluaran disebabkan pelaburan baharu dalam sektor ini juga menjadi risiko.

“Selain itu, risiko penurunan juga berkait rapat dengan penurunan penarafan berterusan bagi penilaian syarikat minyak dan gas disebabkan kebimbangan ke atas aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, terdapat beberapa prospek lebih baik untuk segmen terpilih di mana operator minyak dan gas terdedah secara langsung kepada pengeluaran huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd yang mendapat manfaat daripada harga minyak lebih tinggi.

Katanya, selain itu, subsektor pengeluaran, penyimpanan dan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) juga mendapat manfaat memandangkan jumlah pengendali berkurangan ketika era kemelesetan pada 2015 hingga 2017.

“Menjangkaui tempoh terdekat, kami melihat beberapa projek FPSO akan dianugerahkan tidak lama lagi termasuk projek Agogo laut dalam milik Eni dan projek Cameia milik Total Energies di Angola, serta satu lagi Maka di Suriname,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini