
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam botol bagi tempoh 8 November hingga 7 Disember depan.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, harga runcit komoditi itu bagi satu kilogram (kg) kekal RM6.90, RM13.30 bagi dua kilogram, tiga kilogram (RM19.60) dan RM30.90 bagi lima kilogram.
“KPDN ingin memaklumkan mengenai komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga. Ini bagi mengelakkan pengguna terkesan dengan dengan sebarang bentuk kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.
“Selain pelbagai inisiatif di bawah Payung RAHMAH, turut diteruskan adalah peranan kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen dalam botol bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000.
“KPDN akan meneruskan pemantauan di samping turut
menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN, termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara
rasmi,” menurut kenyataan itu.
Aduan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 / 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, call centre 1-800-886-800, e-mel di [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN atau hubungi bilik gerakan penguatkuasaan di talaan 03-8882 6088 / 6245.