comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga minyak masak turun lagi!

Harga maksimum minyak masak botol turun 20 sen-60 sen mulai 8 November

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam botol sekali lagi turun di antara 20 sen hingga 60 sen berkuat kuasa 8 November sehingga 7 Disember ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan berkata, minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) akan dijual pada harga maksimum RM30.90 berbanding RM31.50 yang ditetapkan secara bulanan sebelum ini.

 

Harga baharu minyak masak tulen kemasan botol 3kg turun kepada RM19.60 daripada RM19.90; botol 2kg (RM13.30 daripada RM13.50); dan botol 1kg (RM6.90 daripada RM7.10).

“Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti. Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, kawalan harga berkenaan dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia dan ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

“KPDNHEP ingin memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan kawalan harga minyak masak sawit tulen botol yang telah mula dilaksanakan sejak 8 Ogos 2022,” kata kenyataan tersebut.

KPDNHEP turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran.

Maklumat atau aduan rasmi boleh disalurkan menerusi aplikasi Whatsapp ke 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; e-mel [email protected]; aplikasi Ez ADU KPDNHEP atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/6245.

Loading...
Terkini