comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Harga rumah mampu milik kurang RM5,000 menerusi inisiatif harga simen berpatutan

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Harga simen pada kadar berpatutan akan ditawarkan kepada pemaju rumah mampu milik yang dilihat boleh mengurangkan harga rumah maksimum mencecah RM5,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta itu ekoran kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi keutamaan berhubung penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat. Ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah,” katanya.

Beliau berkata, mengambil kira pengurangan harga simen berkenaan berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang telah diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.

Katanya, insentif swasta itu dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit.

Dalam sidang media sama, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan kerja tersebut akan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera.

Justeru katanya, peruntukan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan sebanyak RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan meningkat kepada RM1 bilion.

“Pagi tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023. Kerajaan Persekutuan amat memahami kepentingan dan keperluan penyelenggaraan berkala di Jalan Persekutuan supaya jalan sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat. Ini khususnya melibatkan masalah jalan raya berlubang sebagai antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya.

Loading...
Terkini