Tumpuan :
Nasional

Harga sayur meningkat lebih 50 peratus sehingga akhir Disember ini

Tinjauan harga sayur sayuran yang didakwa meningkat susulan musim tengkujuh yang menjadi faktor kenaikan harga hampir sekali ganda di pasar Chow Kit. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Harga sayur-sayuran dijangka terus mengalami kenaikan lebih 50 peratus sehingga akhir Disember ini.

Pengerusi Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Datuk Chai Kok Lim berkata, ia disebabkan beberapa faktor khususnya keadaan cuaca yang tidak menentu akibat fasa peralihan monsun.

Menurutnya, hujan lebat dan banjir melanda beberapa negeri turut mengakibatkan bekalan sayur berkurangan.

“Jika dulu kita boleh potong sayur 100 kilogram (kg) sehari, sekarang hanya 40 kg sahaja dapat dipotong disebabkan cuaca.

“Selain itu, cuaca yang hujan juga menyebabkan kualiti sayur kurang cantik kerana ketiadaan matahari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, sejak dua minggu lalu kenaikan harga sayur naik mendadak, tetapi kenaikan tidak boleh melebihi 100 peratus.

“Contohnya harga tomato, jika dulu harga RM4 sekilogram namun kini naik sehingga RM6.

“Sawi sebelum ini ini hanya RM3 sekilogram tetapi kini naik RM8, begitu juga dengan salad dulu hanya RM4 dan sekarang RM9,” katanya.

Akuinya, hasil sayuran juga turun kepada 50 peratus menyebabkan bekalan agak terjejas ketika ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit di sini mendapati terdapat kenaikan harga sayuran antaranya tomato dijual RM5, lobak pula RM3.50 dan cili merah pula RM12 sekilogram.

Pemerhatian wartawan juga mendapati kenaikan mendadak adalah sayuran berdaun seperti brokoli yang kini dijual dengan harga RM12 sekilogram berbanding sebelum ini dijual bawah RM10.

Bagi bekas guru, Salahuddin Ahmad, 70, berkata, jika dulu wang RM30 cukup untuk membeli pelbagai sayuran namun kini jumlah itu tidak mencukupi.

“Memang terdapat kenaikan sayur, tetapi sebagai pengguna kita faham faktor cuaca menyebabkan harga sayur naik dengan mendadak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini