Tumpuan :
Nasional

Harga sayuran dijangka naik hingga 30 peratus ketika tengkujuh

Harga sayur-sayuran dijangka meningkat tiga kali ganda pada November dan Disember susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

JOHOR BAHRU: Susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau musim tengkujuh yang kini bermula, harga sayuran negara dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, keadaan cuaca buruk dijangka menyebabkan bekalan sayuran berkurangan sehingga 15 peratus di negeri-negeri terjejas terutamanya di kawasan rendah.

Katanya, ia berikutan pengeluaran hasil yang tidak seperti biasa susulan hujan yang terlalu lebat akan menyebabkan sayuran tidak menjadi selain kebun serta ladang di kawasan rendah mungkin akan ditenggelami banjir.

“Kita jangkakan kenaikan harga sayuran antara 20 hingga 30 peratus sayuran susulan musim tengkujuh yang mula melanda seluruh negara.

“Bagaimanapun, kenaikan harga sayuran ini tidak terlalu signifikan kerana ketika ini harga sayuran berada pada tahap rendah dan murah.

“Sawi umpamanya hanya dijual pada pemborong pada harga 80 sen sekilogram, jika berlaku kenaikan 20 hingga 30 peratus pun kenaikan harganya minimum.

“Pengusaha pun risau jika hujan terlalu lebat dan berlaku banjir yang menenggelamkan kebun dan ladang sayur antara November hingga Mac nanti, sudah pasti kenaikan harga akan lebih tinggi dan bekalan sayuran pasti akan lebih terjejas,” katanya ketika dihubungi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 November lalu, memaklumkan bahawa MTL 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilaporkan berkata, mengikut ramalan pihaknya MTL kali akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Sementara pada Januari dan Februari, episod hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Lau Weng Soon berkata, kualiti sayuran biasanya akan terjejas dengan hasil pengeluaran berkurangan, jika keadaan hujan terlalu lebat.

Oleh itu katanya, kenaikan harga sayuran adalah dijangka antara 20 hingga 30 peratus, susulan keadaan cuaca luar jangka yang menyebabkan hasil pengeluaran terjejas.

“Bagaimanapun, banyak kebun dan ladang sayuran baharu yang dibuka di Cameron Highlands baru-baru ini dan kita harapkan impak MTL tidak terlalu menjejaskan bekalan sayuran dari tanah tinggi ini.

“Kebanyakan ladang dan kebun sayuran yang lebih terjejas ketika MTL adalah di negeri tanah rendah seperti Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang, berikutan kebimbangan berlaku banjir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini