Tumpuan :
Nasional

Harga syabu seludup lebih 13 kali ganda, dorong Sarawak jadi transit ke Indonesia

Datuk Seri Khaw Kok Chin (dua dari kiri) ketika sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil.73 Siri 8/2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, hari ini. – FOTO NSTP

KUCHING: Harga syabu yang diseludup keluar dari Malaysia khususnya melalui Sarawak boleh mencecah sehingga RM450,000 sekilogram, melebihi 13 kali ganda berbanding nilai dalam negara iaitu hanya kira-kira RM33,000.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, sekali gus menjadi faktor pendorong kepada sindiket untuk menyeludup bahan larangan itu dari Semenanjung ke Sarawak, seterusnya dihantar ke destinasi di Kalimantan, Indonesia.

Hakikat itu, katanya dimaklumkan hasil perbincangan dengan pihak berkuasa pencegahan narkotik di Indonesia susulan kunjungan beliau ke negara itu baru-baru ini.

“Dalam perbincangan itu saya dimaklumkan harga syabu yang diseludup dari Malaysia (Sarawak) mencapai RM450,000 satu kilogram (kg) sedangkan di negara kita harganya RM33,000 sekilogram.

“Ini yang mendorong sindiket untuk menyeludup bahan itu dari Semenanjung ke Sarawak seterusnya dihantar ke destinasi di Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil.73 Siri 8/2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, di Jalan Puncak Borneo, di sini.

Mengulas lanjut, Kok Chin mengakui terlalu banyak cabaran dalam menangani jenayah berkaitan dadah termasuk pelbagai taktik yang digunakan untuk menyeludup antara wilayah di negara ini sebelum mengedarkannya pula ke negara ketiga.

“Malaysia menjadi transit penyeludupan dadah rantau ini dengan bekalan diseludup dari negara jiran (Segitiga Emas) melalui negeri di utara Semenanjung dan kemudian mereka menggunakan pelbagai cara pula untuk menyeludupnya ke Sarawak.

“Apabila berjaya lolos di Sarawak, penyeludup akan berusaha pula mengedarkannya ke negara jiran kerana permintaan di sana yang cukup tinggi selain nilainya meningkat berkali ganda,” katanya.

Kok Chin memaklumkan, JSJN kini menggerakkan ‘projek’ untuk meningkatkan kecekapan pegawai dan anggota bagi mendepani cabaran yang semakin getir dalam memerangi pengedaran dadah.

Katanya, ia termasuk untuk menghadapi pelbagai taktik baharu penyeludup yang memanfaatkan teknologi terkini seperti penggunan dron dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kaedah yang sedang dan akan dilaksanakan memandangkan ia rahsia pasukan.

“Memang ada (usaha) dan kita tengah buat projek (operasi khas), tetapi saya tak boleh cerita semua itu di sini.

“Nanti kalau dia (sindiket penyeludup dadah) tau kita punya MO (modus operadi) nak buat, habislah kita punya tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, JSJN mendapatkan kerjasama unit lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melakukan pemeriksaan mengejut di lapangan terbang serta pelabuhan di Sarawak.

“Sebab itu kita letakkan elemen narkotik dan PGA di lapangan terbang untuk membuat pemeriksaan mengejut apabila menerima maklumat adanya penyeludupan melalui udara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini