comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Bomba Sedunia 2024: JBPM dipuji Presiden Turkiye, rakyat perlu fahami dan prihatin pengorbanan bomba – PM

Oleh: Fareez Azman

TAMBUN: Pengorbanan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) perlu difahami setiap lapisan masyarakat dalam memastikan negara terus selamat.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amanah dan tanggungjawab yang digalas setiap anggota bomba amat besar dan perlu dihargai.

“Saya percaya hari ini (Hari Bomba Sedunia 2024) tidak hanya jadi hari kita pamerkan kekuatan kita, pengalaman kita, tetapi untuk mengajak rakyat memahami dan merasakan prihatin terhadap perkhidmatan bomba.

“Kadang kala kesibukan kita, kita lupa bahawa negara ini aman dan selamat kerana terkawal. Yang mengawal itu tentera, polis juga bomba.

“Rumah hanyut, kucing tenggelam, tanah runtuh, bencana alam pelbagai semua itu kita rasa ada jabatan bertanggungjawab (JBPM), tapi simpati dan kefahaman kurang ini masalah kita,” katanya.

Justeru ujarnya, penghargaan perlu diberikan dengan komitmen yang ditunjukkan JBPM dalam memastikan setiap bencana dapat diatasi dengan baik di negara ini.

“Mereka melalui satu latihan dan latihan itu bukan perlukan jabatan biasa, ada terkorban nyawa, ada cedera parah tapi mereka dapat menjamin satu keadaan biasa (selamat) di negara.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya hadir menyatakan penghargaan terima kasih jasa dan khidmat saudara saudari dimuliakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut jelas Perdana Menteri, JBPM juga mendapat pujian dari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam membantu menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu tahun lalu.

“Jabatan Bomba sentiasa di depan (jika berlaku bencana), tahun lalu gempa bumi di Turkiye, setiap kali berjumpa Presiden Turkiye, dia (Erdogan) tak pernah lupa dan sanjung kerana kecekapan, kekentalan semangat ihsan pasukan JBPM.

“Saya rasakan bahawa negara ini harus diangkat martabatnya dan terangkat martabatnya hanya dengan semangat, pengorbanan dan kecekalan,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan perasmian Hari Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tambun hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan barisan kepimpinan Negeri Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini