@buletintv3 HARI DIABETES SEDUNIA 2024 | Diabetes Ancaman Senyap, Antara Punca Utama Kematian Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kira-kira 84 peratus individu berusia 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidap diabetes. #BuletinTV3 #DIABETES #NHMS #BeritadiTikTok ♬ original sound – BuletinTV3
Oleh: Nini Shahira Anuar
ANTARA sedar atau tidak, penyakit kencing manis di Malaysia berada pada tahap membimbangkan apabila 3.5 juta orang (15.6 peratus) berdepan penyakit kronik itu menurut data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Daripada jumlah itu, 84 peratus rakyat berusia antara 18 hingga 29 tahun pula berdepan situasi tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu.
Pemeriksaan secara berkala merupakan langkah terbaik bagi memantau paras gula di dalam tubuh manusia dan ia boleh diibaratkan seperti menyelenggara kenderaan.
Pengarah Akses Angsana Health, Doktor Ginsky Chan berkata, masalah kencing manis bermula secara perlahan dan mungkin tidak disedari, namun lama-kelamaan bertukar semakin parah.
“Kenderaan yang diperiksa secara kerap selalunya tahan lebih lama kerana setiap masalah boleh dikesan dan dicegah sebelum terlambat.
“Sama seperti kenderaan yang memerlukan pemeriksaan dan servis berkala, kesihatan juga penting untuk dititikberatkan,” katanya ketika ditemui di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Katanya, jika tidak dirawat, risiko komplikasi seperti kerosakan buah pinggang akan menjadikan keadaan lebih parah.
Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun, Buletin TV3 melakukan tinjauan orang ramai tentang pemeriksaan awal diabetes dan mendapati rata-rata golongan muda belum peka tentang langkah pencegahan itu.
“Tak pernah lagi buat masa sekarang, saya tak terfikir lagi tapi mungkin pada masa akan datang,” kata Safiya Nadira, seorang mahasiswa universiti berusia 19 tahun.
Berbeza bagi golongan berusia lebih 30 tahun seperti Elah Mohammad, 51, yang memberitahu bahawa pemeriksaan gula dalam darah adalah rutinnya setiap hari.
“Saya periksa gula waktu pagi dengan lepas makan tengah hari dan saya akan buat pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan atau setahun sekali,” katanya.
Kesedaran dan keinginan melakukan pemeriksaan kesihatan haruslah seiring bagi mengelak penyakit diabetes semakin melarat oleh kerana ia menyerang tidak mengira peringkat usia.
Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan perang terhadap gula (war on sugar) dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.
Belanjawan 2025 pula telah mengumumkan peruntukan RM87.1 juta untuk pembelian ubat yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit diabetes.
Inisiatif itu bagi mengurangkan komplikasi pesakit diabetes termasuk komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang yang menelan belanja lebih tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.