comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kanak-Kanak: Cegah kemurungan, elak masalah sosial

KUALA LUMPUR: Masalah kemurungan bukan sahaja dihadapi golongan dewasa, malah turut dialami kanak-kanak yang mempunyai pasang surut emosi.

Malah statistik pada 2019 menerusi tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) yang diadakan setiap 5 tahun mendapati 424 ribu daripada mereka bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Hakikat itu membimbangkan dan jika tidak dicegah awal ianya memberi kesan trauma seumur hidup.

Namun begitu, kemurungan dalam kalangan kanak-kanak sukar untuk dikesan.

Tabiat suka termenung, kerap mengamuk misalnya, sering dianggap ibu bapa sebagai sikap semula jadi kanak-kanak, tanpa disedari jika simptom yang sama berlarutan lebih dua minggu, ia mungkin petanda kepada gejala kemurungan.

Antara ciri kemurungan kanak-kanak termasuklah, tidak ceria, hilang selera makan, sedih berpanjangan, tidak mahu berkawan dan enggan ke sekolah.

Foto hiasan

Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Prof Madya Dr Wan Salwina Wan Ismail, berkata perubahan tingkah laku itu boleh berlaku pada kanak-kanak seawal usia 5 tahun.

“Ibu bapa atau orang sekeliling macam tak perasan, mungkin orang ingat dia jadi nakal ke agak malas ke sebab ada kanak-kanak lebih lebih lagi muda tu mungkin dia tak dapat nak express emosi dia seperti orang dewasa.

“Kelakuan itu jika dibiarkan berlarutan mampu menyebabkan tindakan agresif tatkala kanak-kanak meniti usia remaja dan dewasa,”katanya kepada Buletin TV3.

Ia dibuktikan menerusi statistik NHMS tahun lalu, yang mendapati 9.5 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun pernah melakukan cubaan membunuh diri.

“Langkah awal asuhan dan bimbingan positif adalah elemen utama yang perlu diterapkan ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak.

“Ia bukan sahaja menerusi cara berfikir serta kelakuan, malah menanam sifat yakin dalam diri mereka. Ia boleh dirangsang menerusi aktiviti kekeluargaan yang menekankan hubungan erat antara ibu bapa dan anak.

Justeru, bagi membentuk anak yang mempunyai daya tahan emosi yang kuat, keluarga yang stabil perlu dibentuk.

Selain, peranan ibu bapa yang seimbang juga amat diperlukan bagi mengelak kanak-kanak membesar sebagai individu yang melihat dunia luar dari perspektif yang salah.

Konsultan Psikologi Klinikal, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar berkata, sangat menyedihkan sekiranya kanak-kanak belum faham apa-apa pun tentang dunia tetapi mereka terpaksa menghadapi dunia bersendirian.

“Tanpa kasih sayang secukupnya, perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa tersebut. Ini antara faktor masalah kemurungan di kalangan kanak-kanak, kita jumpa nantilah bila dia dah dewasa,”katanya.

Namun, andai gejala kemurungan terus berlarutan, rawatan segera perlu diambil.

Loading...
Terkini