Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya kira-kira jam 9.13 pagi tadi.
Pengasas platform e-dagang, FashionValet itu sekali lagi akan menyambung diambil keterangan berhubung siasatan kerugian pelaburan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Pasangan itu tiba menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.
Hari ini adalah hari keempat pasangan itu memberi keterangan sejak selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan serbuan SPRM di empat lokasi iaitu pejabat FashionValet, selain Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB, sebelum ini.
Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan kes itu sejak 2018 sehingga 2023.
Setakat ini pihaknya juga sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Jelasnya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen berkenaan.
SPRM juga dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
SPRM juga membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.