PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri menggesa semua anak bangsa untuk bersemangat meraikannya dengan rasa cinta yang mendalam terhadap negara, sikap ihsan serta kasih sayang sesama warga dan perteguh perpaduan antara kaum.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Malaysia negara yang kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman.
“Saya yakin bahawa negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya kita berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman dan kasih sayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tahun ini, katanya Sarawak sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.
‘Segulai sejalai’ dalam bahasa iban bermaksud berjalan seiringan, dipilih sebagai slogan bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Hari bersejarah itu mula diisytihar sebagai Cuti Umum Kebangsaan pada 2010 dan sambutan besar-besaran mula diadakan dengan tuan rumah secara bergilir antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.