comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari pertama ke rumah pengasuh, bayi digigit di badan, abang berbirat di muka

Kesan dipercayai digigit di badan bayi berusia 6 bulan selepas dihantar ke rumah pengasuh pada hari pertama. – Foto tular

KLUANG: Seorang bayi berusia enam bulan digigit di lapan bahagian di badan, manakala abangnya mempunyai kesan berbirat di muka, pada hari pertama dihantar ke rumah pengasuh.

Ibu mangsa, Nurhidayah Jamil mendakwa, kedua anaknya, itu menjadi mangsa dera ketika di bawah jagaan pengasuh di sebuah taman di daerah sini.

Katanya, bayinya kini ditahan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan susulan dan diberi antibiotik manakala abangnya, masih trauma dan berada di rumah.

Foto tular

“Hari pertama di rumah pengasuh berakhir dengan tragedi yang perit bagi aku dan anak anak.

“Baby Luth yang baru 6 bulan digigit oleh anak pengasuh lebih 8 gigitan sehingga terkoyak kulit berdarah- darah di baju.

“Abang Nuh pula, kesan lempang berbirat jari orang dewasa di muka.

“Sampai sekerang Abang Nuh masih trauma sampai demam. Dia sendiri saksi nampak adik dia kena gigit.

“Doakan Luth dan Nuh cepat sembuh luka, demam dan trauma,” katanya dalam status dimuatnaik di laman Facebook semalam.

Beliau berkata, laporan polis sudah buat dan memohon doa supaya semuanya dipermudahkan dan anak anaknya cepat sembuh.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisiner Bahrin Mohd Noh berkata, reman terhadap suspek wanita berusia 20 an dibenarkan selama empat hari hingga Khamis ini.

“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang cedera disyaki digigit oleh anak pengasuh seperti yang tular di media sosial.

“Laporan polis telah dibuat ibu bayi itu pada jam 5.30 petang, Rabu lalu.

“Laporan dibuat wanita berkenaan mengenai kes anak yang berumur enam bulan mempunyai kesan gigitan di badan disyaki digigit oleh anak pengasuh yang berusia tiga tahun.

“Hasil siasatan, pengasuh merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an telah dikenal pasti dan akan dirakam percakapan pada Isnin bagi membantu siasatan,” katanya

Menurut Bahrin, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini