
Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Hari terakhir cuti penggal persekolahan bagi negeri-negeri di kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) dimanfaatkan kanak-kanak dengan aktiviti menggagau ikan.
Bagi loghat Perlis, gagau ikan bermaksud menangkap ikan menggunakan tangan.
Meriah bukan kepalang, acara yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, disertai kira-kira 100 pengunjung dengan kebanyakannya kanak-kanak.
Menurut seorang pengunjung, Anuar Musa, dia bersama keluarga memandu seawal 5 pagi dari Taiping, Perak untuk menyertai aktiviti bernostalgia ini.
“Bagi anak-anak rasa, anak-anak tak pernah rasa gagau ikan tu macam mana. Kita ada pengalaman dah dulu-dulu gagau ikan dalam bendang.
“Kami bergerak daripada Taiping pukul 5 pagi kira-kira pukul 9 baru sampai, semangat punya pasal nak gagau ikan,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Menurut vendor Pasar Terapung JPS Perlis, Mohd Fadhil Husin, kolam tersebut telah dikeringkan sejak beberapa hari lalu bagi menjalankan aktiviti ini.
“Selalu kita dengar acara memancing ikan sekarang kita buat kelainan sikit iaitu menggagau ikan.
“Jadi kita dapat menarik pelancong dan orang tempatan untuk datang ke pasar terapung dan secara tak langsung ianya dapat meningkatkan lagi pelancong yang datang berbelanja di pasar terapung kita,” katanya.
Pelbagai spesies ikan berjaya diperoleh pengunjung antaranya ikan patin, tilapia serta lampam.
“Nak kata susah tu memang susah tapi berjaya juga dapat ikan lampam. Kawan-kawan dapat ikan patin, tilapia,” kata Mohd Amar Asyraf Isharnizam yang menyertai aktiviti itu bersama bapa saudaranya.

Menurut seorang lagi kanak-kanak, Shukri Azfa Subri, dia hanya menggagau ikan patin kerana harganya lebih mahal jika dijual.
“Adik dengan kawan nak jual ikan ni… Adik nak beli kasut bola,” ujarnya.