GERIK: Seekor harimau belang mati akibat dilanggar lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini, hari ini.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya itu sekitar jam 9 pagi.
Katanya, harimau itu setakat ini belum dikenal pasti lagi jantinanya di samping berat mamalia itu disebabkan keadaan karkas (bangkai) yang hancur susulan kemalangan yang berlaku sekitar jam 5.30 pagi itu.
“Karkas hancur, jadi kita tak kenal pasti lagi ianya jantan atau betina, dan berat pun tidak boleh hendak dianggarkan, tetapi kita percaya ianya harimau dewasa.
“Benar, kami terima maklumat sekitar jam 9 pagi tadi dan kakitangan PERHILITAN Daerah Gerik telah ke lokasi jalankan siasatan dan didapati benar.
“Hasil siasatan mendapati harimau itu dilanggar lori yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar 5.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Yusoff lagi, karkas harimau itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses taksedemi (pengawetan) khususnya di bahagian kepala mamalia itu yang masih tersisa.
“Sepatutnya kita boleh kenal ID harimau ini, tetapi disebabkan tubuhnya sudah hancur menjadikan sukar kita hendak buat pengecaman.
“Tetapi kita percaya ia dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan bangkai harimau belang di atas jalan raya yang hanya tinggal kepala selepas dipercayai dilanggar lori, di samping video memaparkan bahagian badan bangkai haiwan itu yang hamoir keseluruhan sudah tercabut bahagian kulitnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.