comscore
Tumpuan :
Nasional

”Harus ada profiling terhadap latar belakang kumpulan muzik daripada luar” – KDN 

Foto NSTP

BALING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahukan proses penapisan lebih teliti terhadap latar belakang kumpulan muzik dari luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu perlu agar tidak menggadai budaya dan agama di negara ini.

Tegasnya perlakuan biadab artis berkumpulan luar negara iaitu The 1975 malam tadi, perlu dijadikan pengajaran kepada penganjur dan agensi berkenaan.

“Maksudnya, harus ada amalan penapisan yang lebih teliti, sudah tentu harus ada profiling terhadap latar belakang kumpulan muzik daripada luar sementara pendekatan kerajaan itu adalah pendekatan yang mesra.

“Tetapi itu tak boleh menggadai soal sistem nilai, budaya dan soal pertimbangan agama dalam sesebuah negara yang berbilang kaum dan (ia) sangat sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Malaysia MADANI – Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di Universiti Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, berkata penganjur juga perlu mengambil tanggungjawab agar menilai latar belakang penghibur agar ia bersesuaian dengan amalan, budaya dan sensitiviti setempat.

Katanya, sesuatu yang dikatakan baik dan bebas di negara luar tidak semestinya baik dan bebas di negara kita.

“Untuk masyarakat umum, hiburan itu sesuatu yang biasa, tetapi perlakuan yang seumpama itu cuma boleh kita simpulkan dengan satu perkara sahaja iaitu sesuatu bentuk kehancuran nilai yang sama sekali tidak ada tempat dalam negara kita.

“Sementara pasukan muzik dari luar ini bebas menyatakan pandangan atas nama kebebasan bersuara, tapi mereka juga harus belajar tentang pantang larang dalam sesebuah negara. Itu juga adalah tanggungjawab mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, agensi kawal selia kementerian berkenaan harus mempertimbangkan, menyemak dan meneliti semula penghibur yang sesuai untuk dibawa ke negara ini di masa depan.

“Tapi peringatan kita adalah biarlah episod ini menjadi pengajaran semua. Saya tonton video klip itu yang dikirim kepada saya bertalu-talu, tak ada satu ayat yang dia sempurnakan, melainkan dengan maki hamun dan mencarut.

“Kemudian secara terang-terangan meneguk arak di khalayak dan melakukan perbuatan biadap yang langsung bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan.

“Saya fikir mereka boleh menyampaikan atau menyuarakan mereka punya kekecewaan terhadap beberapa peraturan yang dianggap menyekat kebebasan dan sebagainya, tapi biar mereka tahu negara ini ada kedaulatan undang-undangnya,” katanya.

Saifuddin berkata, dalam sebuah negara yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, Malaysia tidak boleh menerima perbuatan seumpama itu.

Loading...
Terkini