comscore
Tumpuan :
Nasional

Hasil berbudi pada tanah, abang bomba tuai 100 kg lada bara

Anggota bomba menunjukkan hasil tuaian lada bara yang diusahakan mereka secara fertigasi di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan. – FOTO: NSTP

PEKAN: Usaha anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi, di sini, melaksanakan tanaman fertigasi membuahkan hasil apabila berjaya menuai lebih 100 kilogram (kg) lada bara, sejak sebulan lalu.

Ketua Balai terbabit, Mohd Noor Hisyam Kadri berkata, projek terbabit adalah inisiatif mereka dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) sebagai menyahut saranan jabatan untuk mewujudkan balai dalam tanam.

“Projek ini sudah bermula pada 2019 tetapi tergendala disebabkan faktor dalaman sebelum diteruskan semula pada September tahun lalu.

“Bagi fasa pertama, kami menanam sebanyak 1,000 pokok lada bara di tapak seluas kira-kira suku ekar (0.025 hektar) di dalam balai ini.

“Selepas tiga bulan, kami dapat menuai hasil pertama awal Disember tahun lalu dan setakat ini sudah menuai hasil sebanyak tiga kali iaitu lebih 100 kg,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, semua keperluan projek fertigasi ini diuruskan oleh pihak perunding YP termasuk memberikan latihan kepada anggota manakala hasilnya juga dijual kepada pihak terbabit.

“Kami sudah sepakat bahawa 80 peratus hasil jualan lada bara ini akan diagihkan kepada anggota manakala bakinya akan disimpan untuk kegunaan balai.

“Pokok lada dibahagikan kepada tiga pasukan di balai ini dan mereka perlu menjaga dan menguruskan bahagian masing-masing.

“Setiap hari mereka akan meluangkan masa dua kali sehari menguruskan tanaman berkenaan, jadi itu tidak mengganggu tugas hakiki mereka,” katanya.

Loading...
Terkini