comscore
Tumpuan :
Nasional

Hasil Laut Cukup Pada Musim Tengkujuh

KOTA TINGGI: Jabatan Perikanan memberi jaminan bekalan harian hasil laut mencukupi semasa musim tengkujuh, tahun ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Mohd Sufian Sulaiman, berkata pihaknya juga terus giat menjalankan pelbagai program bagi mengukuhkan lagi jaminan itu, antaranya dengan terus melabuhkan tukun dalam usaha menambah sumber hasil laut.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga memaklumkan kepada penternak ikan sangkar dan kolam, agar sentiasa bersedia untuk mengeluarkan hasil laut mereka sekiranya berlaku banjir.
“Penternak kolam dan sangkar perlu bersedia, mana-mana hasil laut seperti ikan, udang yang sudah sedia untuk dikeluarkan, perlu dikeluarkan sekarang, bagi mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian.

“Jadi bila dikeluarkan bekalan itu ada. Bagi saya, tiada isu yang ketara berhubung ketiadaan bekalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Good Agricultural Practice (MyGAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Sufian berkata SMK Bandar Mas yang mempunyai pusat penetasan ikan, sekolah pertama di negara ini yang menerima sijil MyGAP daripada Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, MyGAP yang sebelum ini kenali sebagai Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia, bermatlamat memastikan penghasilan produk akuakultur selamat dimakan, berkualiti, tanpa memudaratkan persekitaran dan kebajikan haiwan, serta mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini