comscore
Tumpuan :
Nasional

Hasil Sidang Kemuncak Tergempar OIC, isu Enakmen Jenayah Syariah fokus Dewan Rakyat hari ini

Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Hasil Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi berhubung konflik berdarah di Palestin, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman sesawang parlimen, perkara itu dijangka dibangkitkan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.

Beliau juga ingin tahu hasil lawatan Perdana Menteri ke persidangan Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pada sesi sama, Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) bertanyakan Perdana Menteri berhubung pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap notis petisyen yang difailkan dua wanita yang dilihat sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (i) Kelantan 2019.

Sementara itu, pada sesi soal jawab, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kertas siasatan yang dibuka dan kes dituduh di mahkamah bagi kesalahan pengantunan kanak-kanak.

Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) pula mahu Menteri Pertahanan menyatakan status terkini pelaksanaan dasar industri pertahanan dan keselamatan negara (DIPKN) yang sudah tertangguh sekian lama.

Selepas sesi soal jawab itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian berkaitan.

Persidangan  kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu hingga 30 November ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini