Tumpuan :
Gaya Hidup

Hasilkan wau guna plastik sampah

Foto : NSTP

MARANG: Hanya guna plastik sampah untuk hasilkan wau berkualiti.

Itu yang dilakukan seorang peminat wau bagi mengisi waktu lapang pada musim kemarau ini.

Tukang rumah, Sulong Mat Ali, 65 tahun, dari Kampung Padang Pak Su Man berkata, fenomena cuaca panas tidak menghalangnya untuk bermain wau naik.

Menurutnya, pada 2 petang dia sudah ke kawasan padang untuk menaikkan wau yang dihasilkan dengan menggunakan plastik sampah sekiranya tidak mempunyai kerja.

Katanya, plastik sampah dilihat mempunyai ketahanan berbanding kertas wau dan dia menghasilkan wau menggunakan plastik sejak lima tahun lalu.

“Walaupun terpaksa berada di bawah panas terik namun kerana minat bermain wau sejak kecil mendorong saya untuk meneruskan hobi ini,” katanya.

Menurut bapa kepada 10 anak dan 25 cucu itu, dia mempunyai lebih 30 buah wau diperbuat daripada plastik terdiri daripada wau bulan, burung dan barat.

Katanya, wau yang diperbuat menggunakan buluh dan plastik itu mempunyai pelbagai ukuran dan yang paling besar dengan lebar empat meter dan tinggi dua meter.

Sulong berkata, musim panas seperti sekarang ini merupakan waktu sesuai untuk bermain wau.

Menurutnya, masyarakat dahulu bermain wau selepas selesai musim menuai kerana faktor angin yang membolehkan wau dinaikan.

Jiran sekampungnya, Muhammad Hafizi Ab Ghani, 32, berkata, dia mempunyai lebih 50 wau naik yang diperbuat daripada beg plastik.

“Sebelum ini, wau naik dihasilkan dengan menggunakan kertas wau, namun sejak lima enam tahun kebelakangan ini kami beralih menggunakan plastik pula.

“Material plastik lebih ringan dan memudahkan wau untuk dinaikkan selain mudah untuk diperoleh,” katanya yang juga seorang penternak.

Menurutnya, setiap hari dia akan menaikan lebih 10 buah wau dan bermain wau merupakan antara hobinya terutama apabila tiba musim panas dan kemarau.

Loading...
Terkini