comscore
Tumpuan :
Nasional

Hasrat Anwar mahu isu tertangguh Malaysia-Singapura diselesaikan sebelum hujung tahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat isu tertangguh seperti perjanjian air dan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura diselesaikan secara baik sebelum Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hujung tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui kerumitan untuk memuktamadkan isu berkenaan namun menyifatkan ia akan memberi banyak manfaat kepada negara sekiranya dapat diselesaikan segera.

“Saya bagi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa saya akan pastikan pegawai kita bekerja lebih pantas sekiranya boleh dan jika tidak, mereka perlu kemukakan kepada perhatian saya.

“Ia akan menjadi hebat jika kita dapat selesaikan sebelum mesyuarat dua hala menjelang akhir tahun ini. Kalau kita boleh selesaikan esok, minggu depan kami akan menjemput Wong untuk datang (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya, Wong di sini hari ini.

Wong tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari semalam, yang merupakan lawatan sulung beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri
republik itu pada 15 Mei lalu.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu mengadakan perjumpaan untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau bercita-cita tinggi supaya isu tertunggak berkenaan diselesaikan mengambil kira hubungan baik sebagai negara jiran.

“Saya mahu (penyelesaian) ini mempamerkan kepada dunia bagaimana (negara) jiran yang baik harus berkelakuan dan berinteraksi. Jadi saya menantikan resolusi muktamad itu,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata, pertemuannya kira-kira lebih sejam bersama Anwar adalah peluang baik untuk mereka menyentuh perkara terbabit.

Beliau turut menyatakan keterujaan untuk datang ke Malaysia pada bila-bila masa bagi membantu mempercepatkan penyelesaian isu tertunggak tersebut.

“Apa sahaja perbezaan yang mungkin ada dalam isu ini tidak boleh menjejaskan warna kita. Bagaimana kita mengurus hubungan keseluruhan, tidak boleh mengurangkan kemungkinan untuk meneruskan bidang kerjasama baharu.

“Jadi itulah semangat yang kami ada dalam menangani isu-isu ini dan kami berharap sekurang-kurangnya walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya (isu tertunggak) tetapi dapat melihat kemajuan yang sangat baik ketika Sesi Pemukiman Pemimpin akan datang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini