Tumpuan :
Nasional

‘Hati bapa mana yang tidak gundah’

Anggota Malbatt yang cedera diberikan rawatan kecemasan.

KUALA LUMPUR: “Hati bapa mana yang tidak gundah memikirkan keselamatan anak yang kini berkhidmat dalam Batalion Malaysia (Malbatt) di Beirut, Lubnan. Serangan roket oleh dron tentera Israel semalam (kelmarin) yang mencederakan enam tentera Malaysia membuatkan saya tidak lena tidur,” ujar Kapten Bersekutu (PA) Ramli Hashim, 55.

Dia berkata, anaknya, Sarjan Nor Irwan, 26, mula berkhidmat di negara bergolak itu sejak Oktober tahun lalu.

“Sejurus mendapat maklumat berhubung serangan tentera Israel terhadap anggota Malbatt 850-12 yang sedang menuju ke Kem Marakah, Lubnan jam 8 malam kelmarin, saya berusaha hubungi anak saya.

“Panggilan saya tidak dijawab. Kali terakhir kami berbual menerusi telefon dalam beberapa bulan lalu dan ketika itu dia memaklumkan mengalami demam panas,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu yang berkhidmat di Kem ATM Kuala Lipis, Pahang pernah menyertai misi Malbatt kali pertama pada tahun 2020 sebelum kembali ke tanah air pada 2021.

“Mungkin rezekinya, dia dapat peluang berkhidmat di Lubnan pada Oktober tahun lalu (2023). Mengikut jadual, dia akan pulang ke tanah air tidak lama lagi selepas genap setahun berkhidmat di sana.

“Ketika ini, saya hanya mampu doakan keselamatannya di sana sambil memantau perkembangan semasa. Saya doakan keselamatan semua wira negara di Lubnan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan talian telefon di kawasan konflik bermasalah menyebabkan mereka sukar berhubung.

Dia berkata, anaknya itu mempunyai empat cahaya mata masih kecil.

Sarjan Nor Irwan bersama ahli keluarganya.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan serangan dan letupan itu menyasarkan kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.

Akibat kejadian, enam anggota Malbatt 850 cedera kecederaan iaitu lima anggota daripada Malbatt 850-12 yang mengalami pelbagai kecederaan ringan.

Seorang daripada mereka cedera di tangan (disyaki patah tertutup pada lengan kiri) dan seorang lagi melibatkan anggota Malbatt 850-11 yang cedera ringan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini