comscore
Tumpuan :
Nasional

HAWANA 2024: ‘Juh Raon’ beri peluang pengamal media kenali Bumi Kenyalang

KUCHING: Peserta Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 berpeluang mengenali keunikan budaya serta pembangunan terkini Sarawak dengan lebih dekat menerusi program ‘Juh Raon’ apabila mereka dibawa melawat lokasi ikonik di sekitar bandar raya ini.

Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak, Denver Bantok berkata, 75 peserta HAWANA 2024 terdiri daripada pengamal media dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta luar negara dijangka terlibat dalam program berkenaan pada 26 Mei ini, yang merupakan sebahagian daripada pengisian sambutan Hari Wartawan Nasional tahun ini.

Beliau berkata antara lokasi lawatan adalah Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana, Dataran Ibu Pertiwi dan seterusnya peserta akan diraikan di restoran English Tea House untuk majlis jamuan teh dan sesi Networking.

“Pada sesi Networking itu, PENTARAMA JaPen Sarawak akan membuat persembahan hiburan seperti nyanyian lagu-lagu tempatan negeri, persembahan alat muzik tradisional ‘sape’ dan gendang,” katanya.

‘Juh Raon’ yang bermaksud ‘jom bersiar-siar’ dalam bahasa Melayu Sarawak dan ia dilaksanakan oleh JaPen Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Menurut Denver, selain menaiki bas yang disediakan, kesemua peserta turut berpeluang merentasi Sungai Sarawak dari Tebingan Kuching dengan menggunakan Jambatan Darul Hana untuk ke kawasan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan sekitarnya.

HAWANA 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ serta program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah yang akan dilancarkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

HAWANA 2024 adalah perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Bernama selaku agensi pelaksana.

Penganjuran tahun ini ialah edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan sambutan itu bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini