comscore
Tumpuan :
Nasional

Hayati prinsip kelima Rukun Negara ketika berkomunikasi-Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – FOTO: NSTP

SERDANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan graduan supaya terus menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ ketika berkomunikasi dalam media sosial.

Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak memberi komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian serta hasad dengki.

“Ini kerana jika berlaku, ia boleh merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda,” titah Sultan Sharafuddin pada sidang kedua Istiadat Pembukaan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor UPM dalam titah baginda turut menggesa graduan dan bakal alumni meneruskan sinergi dengan alma mater UPM sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti dalam merealisasikan kejayaan mereka.

“Selain menyumbang kepada pembangunan pelajar, graduan juga boleh membantu universiti dalam apa jua bentuk peranan dan sumbangan demi kecemerlangan UPM yang dicintai.

“Ini sejajar dengan hasrat untuk melibatkan alumni dalam kelangsungan universiti,” titah baginda.

Menzahirkan keyakinan terhadap kualiti pendidikan UPM, Sultan Sharafuddin yakin graduan telah dibimbing dengan baik oleh pensyarah yang berintegriti melalui sistem akademik bertransformasi.

“Meskipun sebelum ini, graduan melalui pembelajaran secara dalam talian untuk sebahagian tempoh pengajian, beta percaya ia tidak sedikit pun mengurangkan kualiti mereka untuk menjadi insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa setiap graduan yang memberi kepercayaan kepada UPM sebagai destinasi pendidikan pilihan anak mereka.

Menyentuh reputasi UPM sebagai kampus hijau yang menjadi antara tarikan utama pelajar antarabangsa, baginda bertitah usaha memperkasakan UPM akan dipergiat melalui pembinaan sistem solar terbesar di universiti awam.

Titah baginda, UPM bakal memiliki sistem solar fotovoltaik (PV) yang mampu menjimatkan RM114 juta bil elektrik universiti itu dalam tempoh 25 tahun.

Baginda bertitah, UPM turut memberi fokus kepada 11 aspirasi antaranya menakhoda pertanian dan pusat rujukan pengembangan, melahirkan pelajar sebagai susuk warganegara yang baik, merealisasikan kampus pintar serta mengekalkan reputasinya sebagai universiti paling lestari.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berharap aspirasi itu dapat membantu mengukuhkan UPM sebagai menara ilmu yang menggema seruan ‘al-falah’ (kejayaan) demi kemakmuran negara serta kesejahteraan masyarakat.

Seramai 6,092 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga 2 Disember di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Daripada jumlah itu, 520 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,508), Sarjana Muda (3,705) dan Diploma (359). – BERNAMA

Loading...
Terkini