comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Kerajaan tanggung yuran pengajian anak Allahyarham Mohd Sharizan

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SITIAWAN: Kerajaan akan menanggung sepenuhnya pembiayaan yuran pengajian bagi salah seorang anak Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu juga telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi pihak KPT kita telah buat keputusan ada seorang anak anggota TLDM yang sedang belajar di UMK dan kita akan berikan yuran pengajian percuma untuk beliau.

“Pada peringkat ini kita tumpukan kepada soal kebajikan anak-anak ahli keluarga yang terlibat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat keluarga Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi di rumah mereka di Taman Bunga Tanjong, di sini, malam ini.

Mohd Shahrizan merupakan salah seorang mangsa pelanggaran membabitkan dua buah helikopter TLDM di Lumut, Perak semalam.

Dalam pada itu, Zambry turut memaklumkan terdapat beberapa jenis bantuan lain yang akan diumumkan Perdana Menteri serta beberapa menteri yang dipertanggungjawabkan.

Ditanya mengenai yuran percuma, beliau turut meminta keluarga mangsa yang lain untuk memaklumkan sekiranya wujud anak anggota yang masih dalam tempoh pengajian di universiti awam.

Selain itu, KPT juga katanya akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 melibatkan kesemua 21 orang anak mangsa yang terlibat.

Mengulas lanjut, pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberikan apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan bagi setiap ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan, 21, merupakan pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Keusahawanan di UMK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini