comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter TLDM terhempas: Keluarga mangsa sudah jalani dua sesi kaunseling 

LUMUT: Keluarga 10 mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas, sudah menjalani dua sesi kaunseling yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad, setiap keluarga yang menjalani sesi kaunseling ini menunjukkan perkembangan yang positif.

“Sudah semestinya ia adalah sesuatu yang berat untuk setiap keluarga berkenaan, namun saya lihat ia boleh diuruskan (dari sudut emosi).

“Ianya tidak akan terhenti setakat ini sahaja selagi mana (ahli keluarga) perlukan ada perjumpaan tersebut, ianya akan terus kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris kepada Allahyarhamah Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar di kuarters Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Noraini menyerahkan sumbangan RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara serta barangan keperluan kepada keluarga Allahyarhamah.

Pemergian Allahyarham Nor Rahiza meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Sementara itu, suami kepada Nor Rahiza, Mohd Azinor Azizan, 40-an, berkata anak bongsu, Nur Qistina Afia, 6, masih tercari-cari ibunya setiap hari.

Beliau yang juga berkhidmat dalam TLDM berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun sudah mula beransur-ansur menerima kenyataan kehilangan insan tersayang.

Dalam tragedi pada 23 April itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban, selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini