Tumpuan :
Nasional

Henti tohmahan terhadap UPNM, insiden buli hanya babitkan ALK – Khaled

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin menggesa orang ramai agar menghentikan tohmahan terhadap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) susulan kes buli yang dilaporkan baru-baru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan, kejadian buli yang berlaku hanya membabitkan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 hari ini.

“Mereka ini (pelajar) kita tempatkan dalam ALK jadi mereka tidak diletakkan sama dengan asrama-asrama pelajar lain… semua ini berlaku dalam bangunan ALK bukannya UPNM.

“Kalau berlaku pelanggaran disiplin dalam universiti maka itu tanggungjawab UPNM. Kes buli yang berlaku sama ada dalam asrama ALK atau ketika latihan ketenteraan kerana dia seorang pelajar kadet.

“Jadi tak wajar untuk label UPNM dengan pelbagai gelaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 hari ini.

Mengulas lanjut, UPNM juga tidak hanya menampung pelajar di bawah tajaan Kementerian Pertahanan, sebaliknya turut menempatkan pelajar-pelajar awam.

Setakat ini, UPNM mempunyai kira-kira 4,200 pelajar dan daripada jumlah itu hanya 987 pelajar yang merupakan kadet di bawah ALK.

Mengulas mengenai insiden buli baru-baru ini, pihaknya bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan keganasan dan kekerasan terhadap mana-mana pihak.

“Tanyalah semua anggota-anggota tentera yang pernah dilatih sebelum ini, mereka memang lalui keadaan-keadaan (latihan) yang sukar dan mencabar tetapi tidak pernah berlaku kekerasan dan kekejaman seperti menekap seterika atau dipijak.

“Kita tidak akan kompromi dengan amalan itu dan akan pastikan hukuman yang sekeras-kerasnya,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini