comscore
Tumpuan :
Nasional

Hentikan polemik kewujudan sekolah vernakular 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta untuk menghentikan serta merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jika polemik itu berterusan, ia akan menganggu gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik serta agama.

“Selain itu, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa sekolah vernakular bukanlah satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan.

“Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan pelajar bukan India di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.

“Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dilapor berkata, sekolah vernakular hanya aliran sampingan di negara ini dan tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan.

Tegas tokoh akademik itu, sekolah kebangsaan menjadi aliran utama dan ‘maruah’ bagi sistem pendidikan Malaysia, manakala sekolah vernakular boleh dikatakan menghalang perpaduan negara dan perpaduan kaum.

Mengulas lanjut, menurut Aaron, kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.

Sebaliknya, ia perlu turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial (social order) sama seperti peranan sekolah kebangsaan.

Ujar beliau, itu hasil dapatan diperolehi pada Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada tahun lalu.

“Mengurus kerukunan sosial ini bergantung kepada empat perkara, iaitu penyesuaian (adaptability), matlamat (goal), integrasi (integration) dan terpendam (latency).

“Justeru, sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial di sekolah
mereka,” katanya.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa
Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Justeru, Aaron berkata, sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Pada masa sama, beliau menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.

“KPN telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan KPN, KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

“Sehingga kini, KPN dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara,” katanya.

Jelasnya, KPN menerusi agensi akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat pada tahun ini supaya ia menjadi amalan hidup seharian.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk Eksplorasi Rukun Negara; Program Raja Kita; Raja Kita, Payung Kita; Pameran Arkib Diraja: Simbol Perpaduan Negara dan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini