comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Hentikan spekulasi kes serangan asid’ – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Semua pihak diminta menghentikan spekulasi berhubung kes simbah asid membabitkan tonggak utama pasukan Harimau Malaya, Faisal Halim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan menyeluruh kes itu, termasuk mengesan pemilik akaun media sosial yang menyasarkan pemain bola sepak tertentu.

Jelasnya, polis juga memberi jaminan bahawa pemain semua pasukan dan pemain yang beraksi dalam perlawanan Liga Super bermula malam ini, adalah selamat.

“Keutamaan sekarang adalah memberikan rawatan terbaik supaya keadaan Faisal pulih seperti sediakala dan saya mengulangi komitmen polis memastikan tiada pasukan atau pemain berasa bimbang keadaan keselamatan mereka sepanjang aksi musim ini.

“Kita juga mohon tidak dilanjutkan apa juga bentuk spekulasi kerana sudah tentu akan menjejaskan siasatan, kita kena ingat ada tangkapan dibuat.

“Jadi bila tangkapan dibuat, polis akan memulakan siasatan menyeluruh untuk mengetahui motif kejadian,” katanya ketika ditemui pada majlis di Menara Alor Setar di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, polis juga menyiasat pengendali akaun media sosial tertentu yang dikesan menyasarkan pemain tertentu sehingga meyebabkan berlakunya serangan.

Katanya, tindakan akan diambil ke atas pengendali akaun media sosial terbabit sekiranya mereka didapati sengaja mempengaruhi orang ramai sehingga berlakunya kejadian serangan berkenaan.

“Dalam kes ini adalah ‘build up’ yang bertujuan untuk meletakkan sasaran kepada mana-mana pemain? Kalau ada penggunaan media sosial bertujuan membangkitkan rasa kebencian melalui hantaran kepada satu individu, maka tindakan boleh diambil.

“Polis akan mengesan hantaran yang berulang bertujuan membangkitkan kebencian yang kemudian akan ada kelompok bertindak mengambil tindakan sendiri.

“Jadi, beri polis ruang seluasnya untuk melihat perkara itu, jadi tak perlu kita teruskan spekulasi kerana jika ada akaun media sosial dikenal pasti sebegitu sudah tentu akan diambil tindakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini