comscore
Tumpuan :
Nasional

Herley ‘kuat’ demi Hafis

Herley mencium pipi anak keduanya, Mohamad Hafis Hakimi ketika terlantar di wad hospital.

JENGKA: Berat ujian perlu ditanggung Herley Sakijan apabila kematian isteri tercinta pada pertengahan Mei lalu sebelum dua minggu kemudian anak keduanya pula terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Meskipun sedih, Herley, 38, tidak boleh melayan perasaan mengenangkan isterinya meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang kerana perlu meneruskan hidup bagi membesarkan dua anak lain berusia 15 dan 12 tahun.

Bercerita lanjut, Herley yang menetap di Felda Kenanga Jengka 7 di sini, berkata dia sanggup berkorban dengan berhenti kerja sebagai pemandu lori bagi menguruskan anaknya Mohamad Hafis Hakimi, 14, atau mesra disapa Hafis yang terlantar selama enam bulan, sebelum ini.

Menurutnya, Hafis dilahirkan normal namun disahkan OKU akibat kemalangan menyebabkan dirinya hilang keupayaan.

“Kejadian berlaku ketika dia (Hafis) dalam perjalanan pulang dari sekolah sebaik selesai program merentas desa. Difahamkan, Hafis membonceng motosikal dengan rakan, manakala adiknya menunggang basikal.

“Entah bagaimana, motosikal ditunggangnya berselisih dengan kenderaan lain menyebabkan dia terjatuh. Rakan dan adiknya kemudian berlari pulang untuk memaklumkan kepada abang ipar yang berada di rumah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Hafis terlentang di atas jalan dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada objek berat melanggarnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan Hafis koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selama sebulan dan hidup dengan sebahagian tempurung kepala saja.

Katanya, Hafis boleh bertutur, tetapi tidak jelas menyebabkan sukar mendapatkan keterangan mengenai kejadian sekali gus menjejaki suspek yang menjadi punca kemalangan anaknya.

“Buat masa ini, saya tinggal bertiga bersama Hafis dan emak (Misriah Tukimon, 71) manakala dua lagi anak dijaga ibu mentua.

“Kebanyakan masa saya memang di rumah dan sering juga tidak tidur malam serta berjaga sehingga awal pagi kerana menjaga anak.

“Kiranya, memang 24 jam masa saya dengannya, dan jika keluar pun tidak lama kerana fikirkan anak di rumah. Ikutkan, saya ada beberapa kemahiran antaranya membaiki motosikal tetapi tidak boleh bekerja selagi keadaan anak begitu,” katanya.

Katanya, sehingga kini Hafis masih mendapatkan rawatan di Hospital Jengka dan HTTA untuk terapi berjalan, pemeriksaan saluran tekak serta pemeriksaan kepala.

“Saya hanya ada motosikal lalu terpaksa menyewa kereta setiap kali mahu membawanya ke hospital, jadi perlu menyediakan wang sekurang-kurangnya RM150 untuk itu (sewa kereta).

“Mujur ada bantuan bulanan zakat sebanyak RM600 dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jadi dapatlah meringankan beban serba-sedikit,” katanya.

Menurutnya, doktor menjangkakan anaknya masih ada harapan untuk sembuh, tetapi cuma perkembangannya ketika ini agak perlahan.

Bagaimanapun, katanya, dia enggan berputus asa dan terus berdoa supaya ada keajaiban buat anaknya.

“Sama ada dia sihat atau tidak, saya tetap akan terus menjaganya. Apa yang berlaku ini juga sebagai ujian Allah yang menguji kesabaran dan ketabahan saya.

“Alhamdulillah, keluarga dan rakan terdekat memberi sokongan, malah ramai mendoakan serta beri ‘gift’ (hadiah) yang boleh ditukar kepada wang sejak saya berkongsi video serta buat siaran langsung bersama anak di TikTok,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0640041100055074 atas nama Herley Sakijan atau menghubunginya di talian 018-2583811. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini