comscore
Tumpuan :
Nasional

Highland Towers: 28 pemilik unit bakal terima notis pertama roboh

Foto hiasan

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Kondominium 12 tingkat ini pernah menjadi penempatan mewah sekitar tahun 90-an, namun tragedi 11 Disember 1993, meninggalkan memori hitam buat seluruh rakyat Malaysia.

Kini, selepas 30 tahun, bangunan ini semakin usang dan mencemarkan pemandangan sehingga ada yang menjadikan sarang masalah sosial serta pelbagai kegiatan kacau ganggu.

Malah, cakap-cakap untuk merobohkan saki baki yang terbiar juga kedengaran saban tahun.

Namun, kesudahannya tergantung, ibarat berkelahi di dalam mimpi.

Persoalan itu kami panjangkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, (MPAJ).

Bercakap kepada Buletin TV9, Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata pihaknya akan mengeluarkan notis pertama mengenai cadangan perobohan struktur berkenaan mulai Mei, kepada 28 orang pemilik unit strata dan pemilik tapak itu.

“Kita (MPAJ) akan keluarkan notis berkenaan pada bulan Mei,sebaik pemilik-pemilik unit tersebut terima notis, sekiranya ada bantahan mereka perlu nyatakannya

“Hal ini bagi memudahkan cadangan tersebut diputuskan dan dibawa kepada mahkamah untuk kita dapatkan perintah mahkamah (perintah kacau ganggu) berdasarkan aduan yang telah kami terima daripada pemilik-pemilik rumah yang mendiami kawasan sekitar, jelasnya.

Dalam pada itu, MPAJ mengakui aduan kacau ganggu juga saban tahun meningkat menjelang ulang tahun tragedi runtuhan bangunan tersebut.

Oleh itu jelas Dr Ani, cadangan perobohan kondominium usang itu akan mengambil kira pandangan pemilik yang masih mempunyai hak ke atas unit kediaman, tanpa mengetepikan mereka.

“Isunya adalah bila kita nak robohkan bangunan itu disebabkan masalah kacau ganggu dan sebagainya, kita masih lagi perlu untuk memaklumkan tentang aduan tersebut kepada pemilik-pemilik yang masih ada hak

“Terdapat 28 pemilik yang masih ada hak untuk unit strata bangunan itu iaitu seorang pemilik yang memiliki hak kepada 111 unit strata serta 27 orang pemilik untuk setiap unit berasingan”, katanya.

Mengulas lanjut, MPAJ juga sepakat menyerahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah sebaik notis dikeluarkan.

“Walaupun kita ada atau boleh menggunakan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) tetapi kita tak boleh terus robohkan selagi kita tak dapat perintah mahkamah

“Jadi, biar mahkamah yang memutuskan dan itulah keputusannya, ujar beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini