GAZA: Ibarat malapetaka.
Malah perkataan itu pun tidak dapat menggambarkan situasi sebenar yang melanda kem pelarian Jabalia apabila diserang berkali-kali.
Lebih menyayat hati, ramai kehilangan insan tersayang.
Salah seorang penduduk di kem itu, Abdel Kareem Rayan kehilangan 15 ahli keluarganya sekaligus.

Kareem yang ditemui di kem itu, memegang sekeping kertas tertulis nama kesemua ahli keluarganya yang terkorban.
Dalam nada sebak dia berkata, “mereka semua tidak berdosa, hanya tinggal di dalam kem. Apa salah mereka?”
Rejim zionis dalam pada itu mengeluarkan kenyataan memaklumkan serangan yang dilancarkan ke atas kem pelarian terbesar Gaza itu telah membunuh komander Hamas, Ibrahim Bairi yang didakwa mendalangi serangan di Israel 7 Oktober lalu.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem bagaimanapun menafikan ada anggota Hamas yang terbunuh dalam serangan itu, bahkan tiada seorangpun pegawai komander mereka ditempatkan di situ.
Tambah Hazem lagi, dakwaan Israel hanyalah alasan semata-mata untuk rejim itu melaksanakan aktiviti pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.