Oleh Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di Kuala Kedah pada Selasa lepas, ditemui selamat di Phuket, Thailand semalam.
Kedua-dua nelayan itu masing-masing berusia 29 dan 50 tahun itu diselamatkan olej anak kapal kargo yang melanggar bot mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengusaha bot nelayan yang memaklumkan bot milik syarikatnya karam di perairan Kuala Kedah kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lepas.
Susulan itu, dua nelayan yang mengendalikan bot telah hilang dan gagal dikesan dan mendapati beberapa serpihan dan peralatan bot terapung di permukaan laut.
Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Kuala Kedah mengerakkan usaha mencari dan menyelamat mangsa.
“Pada jam 8 malam semalam, pengadu telah dihubungi oleh kedua-dua mangsa, memberitahu sedang berada di Phuket Thailand setelah diselamatkan oleh anak kapal sebuah kapal kargo.
“Menurut salah seorang mangsa, insiden berlaku apabila sebuah kapal kargo dilihat bergerak rapat lalu terlanggar bot mangsa yang sedang dalam keadaan statik.
“Akibat daripada itu, bot dinaiki mangsa telah tenggelam dan kedua-dua mangsa kemudian sempat diselamatkan oleh krew bot kargo yang terlibat dalam insiden ini.
“Walaubagaimanapun kedua dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, polis telah meminta kedua-dua mangsa untuk tampil memberi keterangan berkenaan insiden ini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.