comscore
Tumpuan :
Nasional

Hilang di Selayang, jumpa balik di Kuching – Polis

KUCHING: 12 tahun lalu, sebuah motosikal dilaporkan hilang di Selayang, Selangor, namun ia ditemui di Kuching, awal bulan ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk menjalankan siasatan lanjut bagaimana motosikal Honda EX-5 itu berada di Sarawak.

Beliau berkata, siasatan itu termasuk meneliti kemungkinan nombor pendaftaran dan chasis motosikal yang dilaporkan hilang pada 2011 itu diklon.

“Kita akan menyiasat pelbagai sudut, bagaimana motosikal yang dilaporkan hilang di Selayang itu boleh berada di sini,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Ahsmon berkata, motosikal itu antara 20 kenderaan termasuk enam kereta yang ditemui dalam operasi yang dilancarkan IPD Kuching sejak 4 Ogos lalu.

Menurutnya, seramai 21 lelaki berusia antara 17 hingga 57 tahun ditahan sepanjang operasi berkenaan.

“Berbanding kes sebelum ini, kecurian kenderaan yang dikesan dalam operasi ini tidak membabitkan sindiket tetapi ia dilakukan penjenayah secara bersendirian.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati semua yang ditahan itu positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, modus operandi penjenayah itu memilih melakukan kegiatan pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Kereta yang menjadi sasaran pula adalah kereta lama yang tidak mempunyai sistem keselamatan atau yang tidak berfungsi.

“Motosikal pula mereka sasarkan yang tidak dipasang kunci tambahan dan diletakkan di kawasan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya.mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi membanteras kecurian kenderaan berikutan secara purata satu kenderaan dilaporkan hilang setiap hari sepanjang tempoh lapan bulan, tahun ini.

“Dalam tempoh itu juga, seramai 72 penjenayah ditahan dengan 49 kertas siasatan berhubung kes curi kenderaan dibuka dan 57 penjenayah dituduh di mahkamah,” katanya.

Loading...
Terkini