comscore
Tumpuan :
Nasional

Hilang rumah sekelip mata hanya tinggal tangga dan tiang rumah

HULU DUNGUN: Lebih 20 buah rumah digenangi air sedalam lebih empat meter di Kampung Shukor, di sini, sejak semalam akibat fenomena kepala air.

Tragedi adalah yang terburuk dalam tempoh 60 tahun dan turut menenggelami kampung itu.

Keadaan bertambah buruk apabila berlaku hujan lebat dan menyebabkan sungai kampung berkenaan turut melimpah.

Tinjauan kru kami mendapati rumah milik Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, hilang sekelip mata dihanyutkan kepala air.

“Saya rasa seperti mimpi apabila melihat rumah saya yang didiami sejak 42 tahun lalu hanya tinggal tangga dan tiang batu.
Selebihnya rangka rumah dihanyutkan air sebelum menghempap rumah sepupu saya,” katanya.

Jelas Tengku Alwi, rumahnya kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh tetapi tidak seteruk banjir gelombang keempat yang bermula pada jam 4.00 petang semalam.

Jelas seorang lagi mangsa, Tengku Mohd Zulkurnain Tengku Man, 58, struktur rumah dua tingkatnya menjadi tidak kukuh selepas dihempap rangka rumah sepupunya.

“Kepala air semalam sangat kuat bunyinya dan tiba-tiba telah menenggelamkan rumah kami. Banjir 2014 lalu juga banjir besar tapi tidak seburuk ini dan kejadian ini boleh disifatkan terburuk dalam tempoh 60 tahun,” ujarnya.

Siang tadi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Hanafiah Mat melawat lokasi kejadian.

Kerajaan Negeri Terengganu akan membantu mangsa mencari rumah sewa dan bayaran sewa akan dibiayai oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sehingga kediaman baharu siap dibina.

Beliau turut memberi jaminan mangsa yang terjejas akan dibantu segera.

Di Kampung Belimbing, enam buah rumah penduduk terjejas.

Banjir menenggelamkan rumah penduduk sehingga paras bumbung.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Loading...
Terkini