
PETALING JAYA: Penganjuran bantahan di ibu negara siang tadi tidak mematuhi Akta perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penganjur gagal mematuhi garis panduan pemakluman kepada pihak polis.
Garis panduan itu penting demi ketenteraman awam dan kepentingan semua pemegang taruh.
“Ini adalah jadual 4 seksyen 10 telah disediakan borang dan format ini ada dalam akta dia bukan soal hantar satu surat memadai kerana kehendak ini ditetapkan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Polis mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi maklum balas selain mendapatkan pandangan penduduk dan pemilik harta sebelum himpunan berkenaan dilaksanakan.
Jelas beliau, polis mengambil tindakan dalam memudahcarakan perhimpunan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Himpunan itu bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru pada jam 2 petang dan berakhir di sebuah kompleks membeli-belah.
Pihaknya akan meneliti beberapa perkara termasuk memanggil pihak yang terlibat untuk membantu siasatan.
Sementara itu rata-rata peniaga di kawasan terbabit ketika ditemui kesal, perhimpunan berkenaan menganggu lalu lintas dan menjejaskan perniagaan mereka.
“Janganlah buat kat masjid ni, sebab menganggu kawasan masjid, kami nak berniaga pun tak boleh,” kata penjual minuman, Ilyanus Ilyas.
Nada sama diluahkan Yusmaniah Jamaludin, peniaga makanan yang merasakan kawasan masjid tidak sesuai untuk mengadakan himpunan jalanan.
“Memang tak sesuai sebab ini jalan utama kegunaan orang di sini, ditambah pula di sini pintu utama masjid,” katanya ketika ditemui.