
KUALA LUMPUR: Sepuluh mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dipanggil polis untuk siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Kumpulan mahasiswa berkenaan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 1.30 tengah hari dan selesai memberi keterangan kira-kira dua jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan 10 mahasiswa berkenaan selesai memberi keterangan bersama lima peguam di IPD Dang Wangi.
Terdahulu, Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan pada minggu lalu dihadiri kira-kira 200 peserta dan kesemua mereka berarak dari pusat beli-belah terkemuka ke Dataran Merdeka.
Sebanyak tiga tuntutan dikemukakan kepada kerajaan pada himpunan terbabit antaranya menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara daripada Pejabat Perdana Menteri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.