comscore
Tumpuan :
Nasional

Himpunan RX-Z Member 5.0: “Kalau datang ‘standard’ kami tak kacau” – JPJ

FOTO : NSTP

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 126 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan sepanjang sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat negeri Terengganu termasuk peserta Himpunan RX-Z Member 5.0.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata tidak timbul isu pukat-memukat sempena Himpunan RX-Z Member 5.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, yang berakhir semalam.

Motosikal yang disita melakukan pelbagai kesalahan modifikasi antaranya menggunakan ekzos paip, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tiada langsung nombor pendaftaran.

Ada juga motosikal yang disita yang mana nombor casis (body) sudah diganggu dan sekiranya serius, JPJ akan merujuk kes itu ke pihak kimia bagi menentukan kesahihan nombor asalnya.

“Kalau ia membabitkan motosikal yang dilaporkan dicuri, kita akan serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

FOTO : NSTP

“Sekiranya mereka (peserta RX-Z Member 5.0) datang dalam keadaan standard (asal) kita tidak kacau tetapi mereka (segelintir) datang dengan memperlihatkan seolah-olah mencabar undang-undang.

“Terlalu ekstrim, dengan ekzos bising (paip), nombor plat (pendaftaran) tidak mengikut spesifikasi (kecil) atau langsung tiada,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, ia seolah-olah menunjukkan peserta program berkenaan memperagakan kesalahan dengan nyata kepada pihak penguat kuasa.

Mereka sendiri yang tarik penguat kuasa untuk mengambil tindakan dan perbuatan itu jelas mempunyai niat melanggar undang-undang jalan raya, tambahnya.

“Oleh itu, tiada isu pukat-memukat kepada peserta dan jumlah motosikal yang disita jauh lebih rendah berbanding 40,000 peserta yang hadir.

“Untuk kesalahan peserta RXZ Member, kita sita 126 motosikal yang melakukan kesalahan plat kecil, tiada lesen memandu, memandu bawah umur dan motosikal diubahsuai secara ekstrim.

“Kita melaksanakan undang-undang bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan tiada isu yang perlu dibangkitkan membabitkan program berkenaan,” katanya.

OKM bermula 1 hingga 30 September depan bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal.

Loading...
Terkini