Tumpuan :
Nasional

Himpunan warga asing di Nilai diserbu Imigresen

FOTO: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan

NILAI: Perhimpunan sekumpulan warga asing di sebuah hotel di sini, semalam bagi meraikan kedatangan Krismas berakhir awal apabila diserbu Jabatan Imigresen.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, Imigresen Negeri Sembilan memeriksa 253 warga asing yang datang dari sekitar negeri ini dan Lembah Klang, sebelum menahan 69 atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu selama dua jam itu turut dibantu polis negeri.

“Operasi dijalankan di sebuah dewan banquet hotel bertaraf dua bintang di Bandar Nilai. Dalam operasi ini seramai 253 warga asing diperiksa.

“Hasilnya seramai 69 pendatang tanpa izin terdiri daripada 55 lelaki dan 14 wanita ditahan termasuk empat dipercayai dalang utama perhimpunan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kennith berkata antara pengisian perhimpunan haram yang dihadiri warga asing itu adalah ceramah dan meraikan sambutan pra krismas.

Katanya, kebanyakan mereka bekerja di sekitar Bandar Nilai selain Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang dengan menaiki bas sewa khas.

“Ketika serbuan dilakukan, warga asing ini tidak dapat meloloskan diri kerana semua pintu sudah dikepung pasukan operasi.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kennith berkata semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, operasi itu diadakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam serta tindakan risikan Imigresen negeri selama seminggu berdasarkan risalah yang diedarkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini