comscore
Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] Hormati kemerdekaan, kedaulatan Malaysia – Zahid

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mana-mana negara perlu menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia mempunyai pendirian tersendiri dan perlu dihormati.

“Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat tentunya Malaysia mempunyai pendirian sendiri dan kita mesti memberitahu mana-mana negara mesti menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong di Sri Satria yang menempatkan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai respons laporan media mengenai Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) semalam yang meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan oleh majoriti 363 berbanding 46 yang menentang sebelum RUU berkenaan akan dibawa ke Senat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan mengulas mengenai pertemuan bersama Xiaohong, Ahmad Zahid memaklumkan, Malaysia dan China secara bilateral bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menangani isu keganasan global.

Ujarnya, pertemuan lebih sejam itu juga memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam berhadapan cabaran berkaitan keselamatan sejagat di Asia dan dunia.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyokong hasrat Presiden China, Xi Jinping melalui tiga inisiatif global iaitu keselamatan global, inisiatif pembangunan global serta Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

“Untuk inisiatif BRI, saya menyokong inisiatif tersebut. Saya yakin Malaysia akan mendapat manfaat dan limpahan daripada projek itu. Inisiatif BRI adalah satu inisiatif yang hebat,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau turut menzahirkan hasrat untuk melakukan lawatan rasmi ke China atas jemputan Jinping dan Xiaohong pada awal tahun hadapan.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.

Xiaohong berada di Malaysia dalam rangka lawatan kerja tiga hari bermula semalam, antara lain mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Loading...
Terkini