comscore
Tumpuan :
Nasional

Hospital Cyberjaya mula beroperasi hari ini

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melawat sekitar hospital pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya hari ini.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Hospital Cyberjaya yang mula beroperasi hari ini bakal memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di daerah Sepang dan sekitar.

Hospital pakar major dengan 14 disiplin kepakaran itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan dan kadar penggunaan katil di hospital berdekatan terutama di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

Antara disiplin kepakaran adalah Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Bius, Perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.

Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya yang terletak di Persiaran Sepang, Cyber 11 disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Harjeet Singh; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Cyberjaya, Dr. Shahabuddin Ibrahim.

Khairy dalam ucapannya berkata, dua lagi disiplin kepakaran akan ditambah di dalam hospital berkenaan.

“Ini adalah permintaan khusus daripada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) sewaktu saya menghadap baginda. Tuanku mahu supaya Hospital Cyberjaya kekal sebagai hospital awam dan ditambah kepakaran Penjagaan Geriatrik disebabkan masyarakat menua tidak lama lagi serta Perkhidmatan Psikiatri disebabkan keprihatinan baginda mengenai isu kesihatan mental,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM merancang untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di hospital tersebut dalam usaha menampung keperluan semasa dan meringankan tekanan di Hospital Serdang.

“Kita beri 2 dalam 1 (2-in-1) kepada penduduk setempat iaitu Hospital Cyberjaya dan Klinik Kesihatan Cyberjaya yang ditukar daripada kuarters jururawat yang telah beroperasi sejak 1 November lalu,” katanya.

Hospital Cyberjaya yang mula dibina pada 15 Ogos 2017 di atas tanah seluas 12.82 ekar adalah projek Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dengan peruntukan kos sebanyak RM508.8 juta.

Ia mempunyai kapasiti 288 katil dan dilengkapi dua dewan bedah untuk kepakaran Oftamologi serta pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT).

Selain itu, Hospital Cyberjaya adalah hospital pertama di negara ini bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuk.

Loading...
Terkini