comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hospital Petra Jaya dijangka beroperasi Ogos 2025

Foto: NSTP

KUCHING: Hospital Petra Jaya di Sarawak yang tergendala selepas pembinaannya bermula 10 tahun lalu dijangka beroperasi tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata,  ketika ini hospital yang dibina dengan kos RM610 juta itu telah 54.26 peratus siap dan mencapai tempoh 90 hari mendahului jadual perancangan.

Justeru katanya, beliau diberi jaminan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), hospital berkenaan akan siap pada Ogos tahun depan.

“Jika prestasi konsisten serta mengambil kira pencapaian mendahului jadual ketika ini, tidak mustahil hospital ini dapat disiapkan lebih awal.

“Bagaimanapun, kita memerlukan masa tiga ke empat bulan untuk memasukkan peralatan perubatan yang lengkap,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke hospital berkenaan.

Projek Hospital Petra Jaya bermula pada 2013 dan sebelum ini ia dijadualkan siap pada November 2016, namun kontraktor asal gagal menyiapkannya.

Pada Oktober 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan projek hospital yang mempunyai kapasiti 300 katil itu diambil alih oleh kontraktor penyelamat dan JKR diarah memantau rapi untuk memastikan ianya dapat disiapkan pada penghujung 2024.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, dalam pertemuannya dengan Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini, Premier Sarawak itu turut mengharapkan pembinaan hospital berkenaan tidak tertangguh lagi.

“Begitu juga dengan projek Pusat Kanser Sarawak, Premier Sarawak mahu kita memastikan projek itu tidak dilengah lagi,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini COVID-19, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, jangkitan baharu di seluruh negara menunjukkan penurunan ketara.

Sehubungan itu katanya, tiada keperluan untuk membina fasiliti kesihatan baharu di Semenanjung terutamanya hospital medan walaupun Sarawak kini sudah menyediakan empat hospital medan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi peningkatan semula jangkitan COVID-19.

Loading...
Terkini