comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Howard akur nasihat elak petik al-Quran’ – Na’im

Pertemuan Na’im (kiri) dengan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee di Kuala Kangsar baru-baru ini. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Howard Lee akur kepada nasihat yang diberikan berhubung isu tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau menyampaikan nasihat itu dalam pertemuan empat mata selama dua jam baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam pertemuan yang bermula jam 9 hingga 11 malam itu, Howard bukan saja menerima nasihat, malah turut berbincang banyak perkara berkaitan.

Katanya, turut dibincangkan mengenai usaha kerajaan mengatasi Islamofobia sebagaimana yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nasihatkan jika boleh elakkan (tafsir ayat al-Quran)… cuma apa yang saya perhatikan Howard sebenarnya tidak tafsirkan ayat al-Quran tetapi memetik ayat dalam Surah An-Nisa dengan membaca terjemahannya, jadi saya nasihatkan sebaik-baiknya elak perkara itu,” katanya kepada media selepas Program Halal On Track di Universiti Malaya, hari ini.

Mohd Na’im ditanya mengenai hasil pertemuan beliau dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu minggu lalu.

Dilaporkan pertemuan itu khusus berkaitan kontroversi berhubung tafsiran sendiri ayat al-Quran oleh Howard dalam satu video mengenai konteks politik, baru-baru ini.

Tindakan Howard itu menyebabkan pertikaian oleh banyak.

Susulan itu, ahli politik DAP itu tampil memohon maaf susulan isu berkenaan selepas video ucapannya tular di media sosial.

Permohonan maaf dibuat menerusi sidang media di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Pengkalan pada , 26 September lalu, selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Mohd Na’im menjelaskan kerajaan akan mengagihkan sejuta tafsiran al-Quran kepada orang bukan Islam di negara ini.

Katanya, langkah itu khusus untuk mendedahkan masyarakat bukan Islam di negara ini mengenai isi kandungan al-Quran seterusnya mengelakkan Islamofobia.

“Bagi mengelakkan Islamofobia, kita akan agihkan sejuta tafsiran al-Quran kepada orang bukan Islam termasuk dalam negara.

“Macam mana mereka hendak tahu agama kita jika tidak tahu apa kandungan al-Quran. Kita antara lain akan agihkan al-Quran terjemahan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris dan mengikut kefahaman mereka dan selepas itu dapat melihat Islam yang sebenarnya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini